Mula diperkenalkan di peringkat global pada November 2019, Audi e-tron Sportback kini sudah pun tiba di pasaran Malaysia menerusi pengimport tempatan Weststar Motors. Diberikan pilihan versi ala coupe, harga yang ditawarkan untuk varian 55 quattro S line ini mencecah RM498,000.
SUV elektrik sepenuhnya ini menampilkan penjana kuasa semua-roda dengan motor elektrik hadapan berkuasa 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork 247 Nm. Sementara itu, motor elektrik belakang pula menyalurkan kuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 314 Nm, jadi jumlah keseluruhan output mencecah 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 561 Nm.
EV ini juga didatangkan dengan boost mode yang mampu meningkatkan output sementara hingga 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 664 Nm, yang dapat membantu mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 6.6 saat (tanpa boost) ke 5.7 saat, dengan kelajuan maksimum cecah 200 km/j.
Motor elektrik ini dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 95 kWh, yang mampu menyalurkan jarak hingga 446 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, e-tron Sportback menyokong AC input (sambungan Type 2) hingga 11 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 8.5 jam. Ia juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC (sambungan CCS2) sehingga 150 kW yang mampu menyalurkan kuasa dari status 5-80% dalam hanya 30 minit sahaja.
Bagi kelengkapannya, model tahun 2020 e-tron Sportback ini digayakan dengan pakej S line yang ditambahkan dengan bampar yang lebih agresif dan lencana yang dikhaskan. Luarannya juga dicat dengan warna Navarra Blue dan dipadankan bersama roda aloi turbin lima-jejari 21-inci, dengan kaliper brek jingga jenama e-tron.
Ia juga didatangkan dengan lampu utama matrix LED, bumbung suria kaca panoramik dan cermin maya Audi. Direka bagi mengurangkan seretan aero dinamik, kamera yang dipasang di tepi menggantikan cermin biasa, dengan rakaman video dihantar ke skrin yang diletakkan di atas pemegang pintu dalam.
Lain-lain ciri berteknologi tinggi yang diberikan termasuk kokpit maya Audi, sistem bunyi premium Bang & Olufsen, kawalan suhu empat-zone, kamera 360-darjah, pakej pencahayaan dalaman LED, bantuan sisi AUdi (pra-penderia belakang, bantuan lintasan-trafik belakang, amaran keluar), dan Tour Pack (kawalan kelajuan adaptif, bantuan membelok, amaran ketibaan loronh, bantuan pengelak pelanggaran, pengesan isyarat trafik, AEB).