Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda Leave a comment


Cuaca sekarang memang sukar dijangka. Baru berada di awal bulan September, kita sudah mula mengalami hujan yang kerap tanpa mengira waktu sama ada siang, malam, pagi atau petang. Nampaknya ini cuma baru permulaan dan jabatan meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran awal kepada semua rakyat Malaysia.

Dengan kepakaran serta alatan canggih yang ada, MetMalaysia menjangkakan negara akan berhadapan dengan hujan lebat berterusan pada pertengahan November, dan ini mungkin membawa kepada banjir besar pada hujung bulan. Impaknya akan lebih ketara kali ini, memandangkan monsoon timur laut sedang aktif pada waktu itu, dan fenomena La Nina akan berlaku sehingga awal tahun depan.

Menurut ketua pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, pada bulan Oktober, risiko cuaca hanya melibatkan ribut petir, yang berpotensi menyebabkan angin kuat, hujan lebat serta banjir kilat skala kecil dalam tempoh singkat. Beliau memberitahu Berita Harian bahawa kebanyakan kawasan akan mengalami hujan biasa pada bulan Oktober.

Biasanya, Malaysia akan berhadapan dengan pertukaran monsoon pada hujung bulan September sehingga awal November.

“Sepanjang tempoh ini, cuaca biasanya elok di waktu pagi, sementara bila petang sehingga awal malam, ribut petir akan berlaku lebih kerap terutamanya di kawasan pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah. Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” kata Helmi.

Tidak kisahlah ia ribut petir “biasa” atau yang teruk seperti dijangka berlaku pada bulan November, apa pun kita perlu bersedia dengan mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

Ia juga tidaklah terlalu mahal. Tahun lepas kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.

Contohnya, jika jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda adalah RM25,000, anda hanya perlu membayar serendah RM50 untuk perlindungan tambahan special perils ini untuk insuran seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine. Untuk insuran yang mengenakan kadar lebih tinggi seperti AIA, AIG, Etiqa, Kurnia, RHB dan Takaful, jumlah bayaran tambahan untuk kereta yang diinsurankan sebanyak RM25,000 tersebut adalah antara RM63 sehingga RM125.

Sudah tentu, ini adalah lebih baik berbanding terpaksa menghabiskan beribu-ribu ringgit apabila kenderaan anda rosak akibat banjir, kan?





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *