Setel telah memperkenalkan fungsi baharu ‘One-Tap Fuelling’, yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol hanya dengan satu ketik di mana-mana stesen Petronas seluruh negara, serta mengisi petrol dan meraih mata ganjaran Mesra. Buat masa sekarang, fungsi tersebut untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara dan ketersediaannya akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang dua bulan yang akan datang.
“Kami sentiasa berinovasi dan membangunkan solusi yang memenuhi keperluan pengguna kami yang sentiasa berubah, terutamanya dalam tempoh endemik ini di mana rakyat Malaysia bergerak dengan lebih kerap berbanding sebelum ini. Sejak empat tahun yang lalu, pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih memudahkan di stesen-stesen Petronas.
“Dan kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel. Pengguna tidak perlu lagi mengeluarkan dompet atau kad untuk mengisi petroldan memperoleh mata ganjaran. Sesungguhnya, kami memahami kepentingan sumber masa bagi para pengguna,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, CEO Setel.
Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman “Dah Setel So Far” masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: “I want One-Tap Fuelling now”, di samping men-tag @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.
Malahan mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video mereka yang paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman mereka menggunakan fungsi ‘One-Tap Fuelling’, berserta dengan tag @setel dan tanda pagar yang sama.
Melalui fungsi tersebut, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrolyang ingin diisi – mengikut liter atau tangki penuh, di laman ‘Keutamaan’ semasa mengkonfigurasi fungsi ‘One-Tap Fuelling’.
Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.